Pengasuh kasari dua bayi didenda RM40,000 atau penjara 10 bulan jika gagal bayar denda dan bon berkelakuan baik dua tahun


Pengasuh kasari dua bayi didenda RM40,000 atau penjara 10 bulan jika gagal bayar denda dan bon berkelakuan baik dua tahun

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berkelakuan cuai terhadap dua bayi yang berada dalam jagaannya di sebuah taska di Taman Mutiara Rini, dekat sini Mac lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membuat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, selepas membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan wanita itu menjalani 10 bulan penjara sekirannya gagal membayar denda tersebut selain bon berkelakuan baik selama dua tahun serta perlu menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan telah bertindak cuai dengan cara yang mungkin mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua bayi tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, Mac lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam tertuduh, Syufri A. Samad meminta mahkamah memberikan hukuman ringan kepada Nurul Shahira A’shiqin kerana tertuduh sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh kini tidak lagi bekerja dan tiada sebarang pendapatan, kecuali bergantung kepada suaminya yang bekerja kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan, mereka turut menanggung kedua ibu bapa yang telah berusia.

“Sejak didakwa pada 21 Mei lalu, berita ini telah mendapat liputan luas media sehingga dia dicemuh masyarakat, tertuduh juga telah mengaku bersalah sejak awal pendakwaan sekaligus menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Difahamkan, kedua-dua bayi terlibat juga tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan fizikal, oleh itu saya memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada tertuduh,” katanya semasa membuat rayuan.


Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat awam khususnya pengusaha taska.

“Mangsa di dalam kes ini adalah dua bayi yang ‘vulnerable’ dan ‘defenseless’, mereka memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada individu dewasa apatah lagi orang yang telah diberikan amanah,” balasnya.

Sebelum ini, tular dua rakaman video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan tertuduh mengasari seorang bayi dengan menepuk kepala bayi terbabit yang sedang menangis selain turut meniup ke arah muka bayi tersebut sehingga menyebabkan bayi itu sukar bernafas.

Tindakan wanita itu telah membangkitkan kemarahan orang yang memberitahu komen cemuhan dan hinaan kepada tertuduh.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo