Ibu, teman lelaki didakwa dera budak empat tahun

Ibu, teman lelaki didakwa dera budak empat tahun

Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun enam bulan.


IPOH – Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, minggu lalu.

Wanita berusia 23 tahun yang juga ibu kandung mangsa dan teman lelakinya, S. Uthayakumar, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun enam bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah rumah di Taman Menglembu Impiana Adril, Ipoh dalam daerah Kinta pada pukul 4.30 petang, 2 Ogos 2023.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kelvin Francis.

Terdahulu, Evangelin dalam prosiding sama, mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh namun Kelvin dalam rayuannya memohon budi bicara mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kesempitan wang.

Menurut Kelvin, anak guamnya, Uthayakumar yang kini dalam proses penceraian dan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal, baharu sahaja memulakan kerja sebagai pembantu stor dan tukang cuci.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Ainul Shahrin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo