Lelaki bujang dan janda dicekup berkhalwat baru kenal empat bulan di FB


Lelaki bujang dan janda dicekup berkhalwat baru kenal empat bulan di FB

"Kedua pasangan disyaki berkhalwat, dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.


Kulim: Baru kenal empat bulan di Facebook (FB) tetapi sudah berani bawa pasangan pulang ke rumah sebelum dicekup berkhalwat tengah malam tadi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pasangan terbabit ditahan pada 12.35 tengah malam oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di sebuah rumah di Taman Kucai, Lunas, di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lelaki berusia 29 tahun itu masih bujang dan bekerja di sebuah bengkel besi di Pulau Pinang.

"Wanita yang menetap di Sungai Petani itu pula berusia 34 tahun dan tidak bekerja selain berstatus janda tiada anak sejak tiga tahun lalu.

"Mereka mengaku berkenalan melalui Facebook (FB) kira-kira empat bulan lalu," katanya di sini, hari ini.

Anwar Shariffudin berkata, pasangan itu disyaki berdua-duaan dalam rumah itu sehingga menimbulkan syak berlakunya maksiat.

Beliau berkata, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim Hi-Tech untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat, dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo