Ada hubungan sulit dengan isteri orang,​Lelaki maut ditikam suami cemburu


Ada hubungan sulit dengan isteri orang,​Lelaki maut ditikam suami cemburu

"Seorang lelaki maut ditikam selepas disyaki mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya. Kesan tikaman terdapat pada bahagian paru-paru,bahu dan paha"



PETALING JAYA – Seorang lelaki maut ditikam selepas disyaki mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, semalam.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ekoran kejadian tersebut sepasang suami isteri ditahan dan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.


“Bertindak atas maklumat, pada pukul 1.35 pagi tadi pihak polis telah menahan sepasang suami isteri masing-masing berumur 51 dan 45 tahun di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur.


“Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mengaku ada mencederakan mangsa (si mati),” katanya.


Beliau berkata, aduan diterima daripada seorang pegawai perubatan dari wad kecemasan Hospital Serdang, memaklumkan menerima seorang pesakit lelaki berumur 71 tahun yang dibawa oleh kawannya ekoran mengalami kecederaan di bahagian badan akibat ditikam,” katanya.


Mohd. Zaid berkata, hasil pemeriksaan dan rawatan awal, didapati mangsa mengalami kecederaan serius akibat tikaman di paru-paru kanan, paha dan bahu serta meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.


“Mangsa sempat memaklumkan kepada pegawai perubatan terbabit bahawa dia diserang dan ditikam di kawasan salah sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn.


“Beberapa barang kes turut dirampas termasuk kenderaan milik mangsa, empat buah telefon bimbit, pakaian suspek dengan kesan darah serta resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.


Pihak polis menyeru supaya orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini supaya menghubungi balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Redzuan Salleh, di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo