DAP disaran mohon maaf kepada masyarakat Islam, Melayu juga - Mufti Perlis

DAP disaran mohon maaf kepada masyarakat Islam, Melayu juga - Mufti Perlis

"Selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahan," katanya.

Kangar: Parti DAP disarankan untuk memohon maaf kepada masyarakat Islam dan bangsa Melayu seperti yang mereka lakukan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, memandangkan DAP bersama kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas ini, pihaknya mencadangkan agar mereka dapat memohon maaf kepada masyarakat Muslim dan juga Melayu negara ini seperti yang mereka telah lakukan kepada GPS di Sarawak.

"Ini diharapkan dapat meredakan perasan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Katanya, pihaknya juga berpendapat bahawa parti politik yang mempunyai dominasi muslim perlu menyertai kerajaan baharu ini.

"Dalam masa yang sama juga, saya merasakan untuk keharmonian negara, eloklah parti lain dan semua pihak memberikan ruang dahulu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 ini melaksanakan agenda pemerintah beliau.

"Selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahan," katanya.

Dr Mohd Asri berkata, dirinya secara peribadi turut mengucapkan tahniah kepada Anwar di atas pelantikan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri.

"Diharapkan Anwar yang dahulu dikenali lahir dari lubuk gerakan Islam itu kembali menjelma dengan semangat yang islamik dan negarawan yang baik dan kerisauan dominasi pihak tertentu terhadap beliau harap dapat dipudarkan dengan pembuktian beliau dalam tindakan.

"Selain itu, saya doakan semoga Allah membimbing pentadbiran beliau kepada kebaikan dan dilindungi dari keburukan dan kemurkaan-Nya," katanya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo