Bukan culik, ibu ambil anak kandung


Bukan culik, ibu ambil anak kandung

"Dipercayai akibat memakai purdah selepas mendapat hidayah berhijrah kepada agama Islam, seorang ibu yang bertindak mengambil anak kandung yang dijaga saudaranya disangka penculik"



ROMPIN – Dipercayai akibat memakai purdah selepas mendapat hidayah berhijrah kepada agama Islam, seorang ibu yang bertindak mengambil anak kandung yang dijaga saudaranya disangka penculik.


Difahamkan ibu mangsa yang merupakan Orang Asli telah bercerai dengan suaminya dan berhijrah kepada agama Islam sebelum mendalami agama itu di Terengganu.


Ibu mangsa yang katakan mendapat hak penjagaan anaknya sejak 2019 tidak dapat mengambil anaknya lebih awal kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga bagi mendalami agama Islam.


Ketua Polis Daerah Rompin, Mohd. Azahari Mukhtar berkata, tiada kes penculikan melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di daerah ini seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.


Katanya, kes yang dikatakan berlaku di Bandar Lama Rompin berkenaan hanyalah melibatkan isu keluarga.


“Kes berkenaan hanyalah kes keluarga yang mana ibu kanak-kanak berkenaan datang mengambil anaknya yang ditinggalkan bersama ibu saudaranya.


“Ibu kanak-kanak berkenaan juga telah membuat laporan polis sebelum datang mengambil anaknya dan juga laporan polis di Besut Terengganu selepas tiba di rumahnya,”katanya.


Semalam tular dalam media sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilarikan seorang wanita menaiki kereta jenis Perodua Myvi di Bandar Lama Rompin.


Kejadian itu kemudiannya menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai mengenai keselamatan anak masing-masing.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo