Bergelut bela 5 anak dan 3 anak yatim selepas bercerai


Bergelut bela 5 anak dan 3 anak yatim selepas bercerai

"Wanita yang mengidap telesemia(cepat penat) itu mencari rezeki sebagai pembersih rumah dengan pendapatan RM50 sehari." 

KOTA BHARU – Malang menimpa seorang wanita apabila bukan sahaja diceraikan, malah terpaksa pula membela lima anak sendiri dan tiga anak yatim di Kampung Panjang, Banggu di sini.

Bertambah malang apabila Roslizawati Azmi, 38, disahkan menghidap telesemia yang menyebabkan dia cepat penat dan tidak boleh melakukan kerja berat.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk wanita itu mencari rezeki sebagai pembersih rumah dengan pendapatan RM50 sehari tanpa meminta ihsan orang.

Telesemia merupakan penyakit keturunan yang berpunca daripada kurang protein globin yang menjadi komponen hemoglobin di dalam darah.

“Upah itu digunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan kesemua anak yang berusia dua hingga 13 tahun.

“Selepas bercerai, saya mengambil tanggungjawab membesarkan lima anak sendiri. Selain itu, saya turut membela tiga anak saudara selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kronik beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurut Roslizawati, tiga anak yatim itu merupakan zuriat adik lelakinya, Muhammad Aiman Azmi, 36, yang meninggal dunia akibat tibi, manakala isterinya, Nurul Farahin Mohamad, 25, maut akibat kanser saraf tiga tahun lalu.

Tambahnya, sejak itu, dia menjaga tiga anak arwah adiknya itu yang berusia tujuh hingga 11 tahun.

“Pendapatan RM50 sehari hanya cukup-cukup makan sahaja dan jika tidak sihat, saya tidak keluar bekerja serta tiada upah pada hari berkenaan.

“Selain itu, saya juga menerima bantuan RM850 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk lima anak saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Roslizawati, dia kini semakin cepat penat dan tidak dapat bertahan di bawah matahari disebabkan penyakit talasemia.

“Saya perlu ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian tiga bulan sekali untuk rawatan. Selain itu, anak bongsu berusia dua tahun juga ada asma,” katanya.

Menurut Roslizawati, setakat ini, dia hanya bergantung dengan bantuan JKM dan penghulu kampung yang memberi beras setiap bulan.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh hubungi Roslizawati di talian 017-9194638 menerusi akaun Maybank 164388761166

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo